Artikel

Malaysia Jangka Kutip RM3 Bilion, Hasil Cukai Perkhidmatan 8%

Hasil perluasan skop dan pelarasan kadar baharu cukai perkhidmatan 8% pada awal Mac lalu, Malaysia dijangka berupaya meraih tambahan perolehan sekitar RM3 bilion. 

Angka itu menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim, merangkap Menteri Kewangan pada sidang Dewan Rakyat semalam (26 Mac) langkah itu tidak sekadar meningkatkan hasil Malaysia tetapi turut membantu ekonomi negara dalam memberi tumpuan pada kenaikan cukai melibatkan kategori perkhidmatan kemahuan.

Malah perubahan ini turut dimaklumkan tidak memberi impak yang ketara pada inflasi negara dengan kesan kecil di mana Jabatan Statistik (DOSM) menggariskan setakat ini kesan tersebut mencatatkan sekitar 0.2% pada kos semasa. 

Bagi penjelasan lanjut, aturan kenaikan cukai perkhidmatan ini sama sekali tidak melibatkan perbelanjaan berkaitan makanan, minuman dan telekomunikasi – skop ini kekal dengan pengenaan cukai perkhidmatan 6%. Selain itu perbelanjaan utiliti seperti petrol dan air turut kekal dan tidak dikenakan cukai perkhidmatan.