Artikel

BNM : Google Sekali Lagi Siarkan Data Kadar Tukaran Ringgit Yang Tidak Tepat

Bank Negara Malaysia kini memaklumkan yang mana Google sekali lagi menyiarkan data kadar pertukaran asing untuk Ringgit yang tidak tepat, pada 15 Mac 2024. Perkara ini membawa kepada penularan berkenaan informasi tidak tepat di media sosial. BNM menekankan yang mana maklumat ini tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar.

Mengikut data yang tepat, nilai pertukaran USD/MYR adalah pada paras 4.7045 pada pukul 5 petang 15 Mac 2024, selain turut memperlihatkan ringgit mengukuh sebanyak 0.76% berbanding nilai dolar AS sepanjang dua minggu lepas.

Nilai yang dipaparkan pada Google adalah tidak tepat. BNM menyatakan telah menghantar surat teguran tegas ketika insiden sebelum ini, dan kali ini akan turut menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan berkenaan punca pelaporan tidak tepat ini.

Orang ramai diminta untuk sentiasa merujuk kepada data rasmi, termasuk data daripada BNM.