Artikel

ASNB Hadir Dengan Penasihat Pelaburan Robo, Dinamakan RIA

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengenalan penasihat robo secara terbina pada platform aplikasi myASNB, dinamakan RIA. Melaluinya, ia menyasarkan untuk membantu orang ramai dalam membuat keputusan pelaburan, disamping turut memperkasa individu dengan pengalaman pelaburan yang mesra pengguna.

ASNB menyatakan pengenalan RIA ini akan memudahkan lagi proses pelaburan oleh orang ramai. Ini termasuk dengan penawaran portfolio pelaburan yang diperibadikan, selain turut membantu dalam mengautomasi transaksi berulang.

Selari dengan pengenalannya hari ini, ASNB akan mengecualikan yuran pengurusan RIA untuk pelaburan melaluinya sebanyak 0.30% setahun, sehingga 31 Disember 2024 kelak. Pengguna yang berminat boleh memuat-turun aplikasi myASNB dan menggunakan ciri RIA yang sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada semua.