Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini telah mengisytiharkan kadar dividen 2023 sebanyak 5.50% bagi Simpanan Kovensional. Sementara kadar dividen untuk Simpanan Shariah pula 5.40%.
Untuk itu, sejumlah RM 57.81 bilion telah diperuntukkan, dengan RM 50.33 bilion daripadanya adalah dividen untuk Simpanan Konvensional, manakala Simpanan Shariah adalah sebanyak RM 7.48 bilion. Malah jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding agihan tahun 2022 sekitar RM 51.14 bilion dan juga lebih tinggi berbanding agihan tahun 2021 yang memperlihatkan peruntukan sekitar RM 56 bilion.
Kadar dividen tahun 2023 juga adalah lebih tinggi iaitu 5.50% berbanding 5.35% pada tahun 2022 untuk Simpanan Konvensional, sementara 5.40% berbanding 4.75% pada tahun 2022 untuk Simpanan Shariah. Ini menunjukkan kenaikan besar bagi Simpanan Shariah berbanding Simpanan Konvensional untuk dividen tahun 2023. Bagi anda yang melakukan caruman KWSP, anda boleh lakukan semakan pembayaran dividen 2023 ini melalui aplikasi KWSP i-Akaun.