Wendy’s merupakan salah satu rangkaian restoran makanan segera popular. Jenama berkenaan sebelum ini pernah beroperasi di Malaysia yang diuruskan oleh Berjaya Group, tetapi rangkaian kedai berkenaan tidak diteruskan di Malaysia sejak tahun 2019 lepas.
Namun, apa yang menariknya kali ini oleh Wendy’s adalah dimana mereka ingin menguji kaedah penghargaan dinamik di restoran mereka, di Amerika Syarikat. Melalui langkah ini, harga makanan akan berubah-ubah mengikut permintaan – lebih kurang sama seperti kaedah yang dilakukan oleh Grab, dimana harga meningkat apabila permintaan terlalu tinggi, dan harga kembali normal apabila permintaan rendah.
Wendy’s dijangka menguji kaedah harga dinamik ini pada 2025 kelak. Pada masa yang sama juga, Wendy’s ingin mengintegrasikan sejumlah ciri kecerdasan buatan, dalam melakukan perubahan pada paparan menu, dan cadangan jualan kepada pelanggan. Selari dengan langkah ini juga, Wendy’s akan melabur pada skrin digital untuk paparan menu di seluruh restoran mereka.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bagaimanakah perkara ini akan memberikan impak kepada jualan. Tetapi ia agak menarik untuk melihat konsep harga dinamik yang popular pada aplikasi digital kini mula diuji implementasi pada kedai-kedai fizikal.
