Artikel

Tekhne Diumumkan – Subsidiari Hong Leong Yang Memfokuskan Komponen Automotif

Di dalam kumpulan Hong Leong terdapat pelbagai subsidiari, selain dari bank, terdapat Hong Leong Industries yang memfokuskan kepada industri berteknologi tinggi serta industri berat. Hari ini mereka mengumumkan subsidiari terbaru mereka iaitu Tekhne Sdn Bhd yang memfokuskan alat ganti automotif.

Menerusi Tekhne Sdn Bhd ini, mereka bertanggungjawab untuk menghasilkan Komponen Gantian Pengilang (REM / Replacement Equipment Manufacturer) dan juga Komponen Asli Pengilang (OEM / Original Equipment Manufacturer) dan industri penghasilan mereka turut merangkumi motosikal dan juga kereta. Malah komponen yang dikilangkan mereka juga pelbagai, dari rim tayar, komponen badan motosikal, cakera brek, ekzos, dan pelbagai lagi.

 

Tekhne juga akan meneroka potensi produk-produk berkaitan kenderaan elektrik dan juga produk terkait dengan mobiliti lestari, dan seterusnya bakal menubuhkan pusat penyelidikan tersendiri dalam menghasilkan komponen berkualiti. Mereka juga akan membangunkan pusat perkhidmatan yang dapat memenuhi bukan sahaja permintaan industri, malah permintaan pengguna secara terus. Di bawah kumpulan Hong Leong, selain dari Tekhne yang bergiat dalam automotif, terdapatnya Hong Leong Yamaha Motor yang turut mempunyai sinergi antara mereka.