Artikel

Rekod Jualan RM1 Juta Terpantas Di TikTok Shop Malaysia Kini Dipegang Khairulaming

Khairulaming hari ini mencatatkan rekod tersendiri apabila berjaya menjual produk bernilai melangkaui RM1 juta, dalam masa hanya 3 minit 39 saat sahaja. Produk yang dijual merupakan produk kedua dibawah jenama Khairulaming, iaitu Dendeng Nyet Berapi.

Produk ini telah dalam pembangunan untuk tempoh lebih setahun, dan hari ini ia dijual buat pertama kalinya melalui TikTok Shop. Untuk jualan kali pertama ini, sebanyak 80,000 unit telah disediakan, dengan harga jualan RM14.99 setiap satu.

Kesemua 80,000 unit habis di”sambar” para pembeli dalam masa hanya 3 minit 39 saat. Ia seterusnya mengambil sedikit masa sebelum semua pembeli selesai melakukan pembayaran, dan angka RM1 juta dipaparkan pada sistem penjual.

Khairulaming sebelum ini terkenal sebagai pempengaruh yang berkongsi sejumlah resipi makanan – terutamanya ketika bulan Ramadan, dan telah hadir dengan produk pertama sekitar 3 tahun lepas, iaitu Sambal Nyet Berapi.