Artikel

Luno Malaysia Mengacah Kehadiran Ciri “ETH Staking”

Luno Malaysia kini telah mula mengacah salah satu ciri yang dinantikan ramai pada platform mereka, iaitu sokongan “Ethereum Staking” atau turut dipanggil ramai sebagai “ETH Staking”.

Apabila pengguna menyertainya, ia seterusnya akan membuatkan ETH anda beroperasi sebagai pengesah transaksi pada sesuatu rangkaian. Seterusnya, pengguna akan menerima ganjaran kerana membantu dalam proses pengesahan transaksi berkenaan – sekaligus membawa kepada pulangan pada aset-aset ETH anda.

Ia secara tidak langsung berfungsi seumpama “Fixed Deposit”, yang membolehkan anda menjana pulangan tambahan menggunakan kriptowang anda. Pihak Luno turut menekankan yang mana mereka belum menilaikan lagi ETH Staking ini sama ada patuh syariah atau tidak buat masa ini.

Buat masa ini, pihak Luno masih belum nyatakan bilakah akan memperkenalkan ciri ETH Staking ini untuk pengguna tempatan. Dengan perkongsian video acah ini, kita mungkin melihat kehadiran ciri ini untuk pengguna tempatan dalam beberapa minggu lagi.