Boost Bank hari ini memulakan ujian alpha untuk perkhidmatan perbankan digital mereka – selepas menerima pengesahan daripada pihak Bank Negara Malaysia baru-baru ini. Ujian alpha ini hanya melibatkan pengguna yang menerima akses dalam bentuk jemputan sahaja.
Menurut Boost Bank, pada peringkat alpha ini, mereka menyediakan ciri seperti akaun simpanan dan juga tabung simpanan. Melalui paparan skrin yang dikongsikan, ia memperlihatkan seumpama akaun simpanan akan memberikan pulangan faedah 2.5%. Ciri kad debit juga dijangka akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Boost Bank merupakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh konsortium yang dibentuk oleh Axiata dan juga RHB.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah pihak Boost Bank akan menawarkan perkhidmatan mereka secara terbuka kepada semua.