TheNoor sedia dikenali ramai sebagai aplikasi gaya hidup muslim, yang digunakan ramai dalam bukan sahaja mengikuti waktu solat, tetapi juga untuk mengakses pelbagai kandungan lain melaluinya. Terbaru, memulakan tahun 2024, TheNoor turut memasuki sektor makanan melalui pengenalan TheNoor Coffee.
TheNoor Coffee yang pertama telah dibuka di Petron Pedas, Negeri Sembilan. Beberapa cawangan lain turut dijangka akan dibuka sepanjang tahun ini. Menyentuh mengenainya, pihak TheNoor mengatakan mereka menyasarkan untuk membuka sehingga 50 cawangan pada tahun 2024 ini.
Tiga variasi kedai kopi akan diperkenalkan, iaitu TheNoor Coffee yang memfokuskan kepada minuman dan menu asas, TheNoor Coffee Plus yang menawarkan beberapa menu tambahan, selain TheNoor Signature yang akan menawarkan menu eksklusif dan kawasan khusus berbentuk kedai makan penuh.
Ini dikatakan merupakan sebahagian daripada kaedah TheNoor memperluaskan lagi penawaran jenama mereka, selain mempelbagaikan lagi pendapatan.