Seperti pernah dimaklumkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli – portal PADU kini boleh diakses oleh semua, sekaligus membolehkan orang ramai untuk mengemaskini profil dan data masing-masing melalui portal berkenaan.
PADU merupakan singkatan kepada Pangkalan Data Utama, dibangunkan dalam usaha untuk menjadi pangkalan data yang selamat dan komprehensif – sekaligus membolehkan pelbagai analitik yang lebih tepat dihasilkan dalam memudahkan penggubalan dasar.
Data ini juga dijangka akan memudahkan keputusan dilakukan oleh pihak berkuasa – termasuk melibatkan subsidi dan lain-lain. Sistem ini juga dijangka akan mengurangkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi.
Ia turut dimaklumkan yang mana maklumat untuk setiap profil pengguna akan diperoleh melalui integrasi data pentadbiran pelbagai agensi. Disamping itu, sebahagiannya juga boleh dikemaskini oleh individu. Bagi anda yang berumur 18 tahun ke atas, boleh melakukan pendaftaran dan semakan data di portal PADU bermula hari ini.