Artikel

Inflasi Malaysia Mereda Kepada 1.5% Pada November 2023

Jabatan Perangkaan Malaysia kini telah mengeluarkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) yang baharu, memperlihatkan inflasi Malaysia terus mereda pada kadar perlahan kepada 1.5% pada November 2023.

Ini sekaligus memperlihatkan penambah-baikkan berbanding 1.8% pada Oktober 2023 lepas.

Peningkatan ini selari dengan inflasi pada kategori makanan & minuman yang mereda kepada 2.6% berbanding 3.6% pada Oktober, selain indeks kategori restoran & hotel yang reda kepada 4.3% berbanding 4.6% sebelum ini.

Dibawah subkumpulan makanan & minuman, untuk makanan di rumah ia dilihat mencatatkan kadar 1.4% berbanding 2.1% pada Oktober 2023. Makanan di luar rumah juga mereda kepada 3.9% berbanding 5.6% pada Oktober 2023. Ia turut dikongsikan, antara makanan yang meningkat lebih rendah pada November 2023 adalah ayam goreng, disebabkan oleh strategi promosi restoran rangkaian makanan segera.

Secara keseluruhan, kebanyakkan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5% kecuali, lima negeri iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3%), Sarawak (2%), Perak (1.9%), Pulau Pinang (1.8%) dan juga Selangor (1.7%).