Bank Negara Malaysia hari ini memperkenalkan duit syiling peringatan edisi terhad, bersempena dengan sambutan ulang-tahun ke-100 untuk UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris). Sebanyak dua variasi ditawarkan, iaitu Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna, dan juga Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated.

Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna hadir dengan rekaan unik berbentuk segi empat sama, diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 43 gram. Nilai muka untuk duit syiling ini adalah RM10, dan akan dijual pada harga RM440 sekeping. Hanya 1000 keping yang akan ditempa.

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated pula hadir dengan rekaan bulat, diperbuat dengan tembaga dan beberapa logam lain, serta mempunyai berat 8.5 gram. Duit syiling ini membawa nilai muka RM1, dan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sebanyak 5000 keping syiling telah ditempa.
Disamping dijual berasingan, BNM juga menawarkan duit syiling ini dalam bentuk set pada harga RM495 setiap satu. Orang ramai yang berminat, boleh melakukan tempahan melalui laman Duit BNM hari ini, sehingga 1 Januari 2024.