GXBank, bank digital yang diterajui Grab Malaysia tidak lama lagi akan melancarkan Kad Debit GX kepada para penggunanya pada Januari 2024.
Pengeluaran kad Mastercard ini difahamkan akan menampilkan akses tidak hanya kad fizikal tetapi termasuklah penawaran kad maya. Menerusi pengenalan itu, ia akan membolehkan pengguna GXBank untuk meraih pulangan tunai 1% tanpa had apabila pengguna memanfaatkannya ketika laksana pembayaran sewaktu berbelanja secara atas talian dan kedai fizikal.
Langkah itu turut membenarkan pengguna meraih ganjaran 1.5x GrabRewards bersama Jaya Grocer bagi setiap perbelanjaan RM1 dan berupaya meraih pengecualian caj pemprosesan RM1 bagi pengeluaran tunai di ATM MEPS seluruh negara.
Namun seperti yang Rnggt jelaskan sebelum ini, pelaksanaan GXBank adalah tertakluk di bawah lesen Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) BNM iaitu ini bermakna secara jelas ia tidak mematuhi piawaian pematuhan syariah.
Meskipun begitu, penawaran GXBank kekal hadir dengan jaminan perlindungan kewangan kepada semua pengguna. Di mana setiap deposit dijamin dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 untuk setiap pendeposit. Malah, aplikasi juga membolehkan pengguna mengehadkan perbelanjaan harian mereka untuk membantu menapis pengguna agar tidak berbelanja secara berlebihan.
Berbalik kepada pelancaran Kad GX, pengguna dimaklumkan tidak akan dikenakan caj tahunan, namun terdapat pengenaan bayaran RM12 untuk pengeluaran kad fizikalnya. Diikuti caj pemprosesan sebanyak 1.2% akan dikenakan ke atas pengguna sekiranya laksana transaksi mata wang asing atau di luar negara melalui GX Bank.
Secara menyeluruh difahamkan caj sedemikian hanya dikecualikan sehingga 31 Disember 2024 kelak, setelah tempoh itu pengguna perlu bersedia akan sebarang pertambahan caj. Berikutan itu, sebarang maklumat lanjut, pengguna boleh layari laman GXBank untuk fahami fungsi seterusnya berhubung akses bank digital ini.