Artikel

Malaysia Duduki Tangga Ke-23, Melonjak Pada Senarai Indeks Kesediaan AI 2023 

Jika tahun lalu, persediaan kerajaan negara pada penerapan Kecerdasan Buatan (AI) meraih 67.37 mata – tahun ini memperlihatkan komitmen Malaysia ke atas pemacuan AI semakin meningkat apabila kedudukan negara melonjak kepada 23 dengan 68.71 mata dalam senarai Indeks Kesediaan AI 2023.

Penanda aras kedudukan di bawah kajian Oxford Insights ini meliputi aspek dalam data dan infrastruktur, sektor teknologi serta gagasan kerajaan negara.

Kedudukan ini dilihat seiring dengan usaha negara menerusi MOSTI yang kini turut meningkatkan imej ekonomi digital semasa. Ketika ini Malaysia turut perbaiki kedudukan dalam Indeks Daya Saing Digital Dunia IMD 2023 pada tempat ke-33. Adanya pemerkasaan tersebut ini akan membantu negara meraih kemajuan dalam ekonomi digital menjelang 2025 kelak.

Buat pengetahuan, pengukuran kesediaan AI ini penting buat negara, ini kerana menjelang 2030 penerapan AI menurut tinjauan PwC berupaya merancakkan pertumbuhan global sekitar 14% kepada $15.7 trilion pada tahun 2030. Maka menerusi potensi itu, sewajarnya negara turut terlibat dalam memanfaatkannya pada pasaran ekonomi digital domestik.

Langkah ini akan membantu Malaysia memiliki lebih banyak peluang dan ruang untuk meneroka pelaburan teknologi baharu secara berkala di masa hadapan.