Artikel

Perlis Pertimbang Keluarkan Beras Tempatan Jenama Sendiri

Jika sebelum ini Kelantan, menyatakan perancangan negeri untuk menghasilkan beras sendiri – kini pertimbangan tersebut turut diteliti Perlis, demi menjamin kelangsungan sekuriti makanan rakyat negeri. 

Penelitian itu telahpun dikemukakan bersama agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk perancangan lanjut. 

Bagaimanapun berdasarkan perkongsian sesi DUN hari ini pada laporan Bernama, aturan tersebut perlu mengambilkira pelbagai aspek sebelum ia direalisasikan. 

Buat masa ini, pentadbiran negeri menjangkakan usaha tersebut dapat dicapai dalam tempoh 3 hingga 4 bulan lagi setelah tuaian padi bagi musim 2023. Difahamkan mandat pembelian padi akan diberi kepada BERNAS dan penghasilan beras akan diterajui Perlis.