Umum ketahui, dalam memupuk budaya pembayaran nirtunai (tanpa tunai) kalangan belia dan pelajar IPT negara berusia 18 tahun sehingga 20 tahun, pengagihan kredit eBelia Rahmah RM200 telahpun dilaksanakan pada tempoh Jun sehingga Ogos lalu. Namun inisiatif ini hanya akan dilanjutkan sekiranya keupayaan dana negara memiliki potensi tersebut.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang penutup Program Setahun Kerajaan Madani (10 Disember) memaklumkan langkah itu akan diketahui mulai awal tahun hadapan. Ia akan didasari berlandaskan perolehan pendapatan negara melibatkan pulangan antaranya Jabatan Kastam serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Jika kutipan hasil negara terus membrangsangkan, usaha pengagihan bantuan tunai akan dilaksanakan dengan lebih baik pada perbelanjaan tahun 2024.
Buat masa ini, pentadbiran kekal positif untuk terus meringankan bebanan rakyat negara kesan tekanan kos semasa dalam pelbagai kaedah terutamanya kalangan golongan belia.