Artikel

2.99 Juta Penduduk Malaysia Kini Lebih Selesa Bekerja Sendiri – DOSM

Pasaran ekonomi Malaysia kini terus memperlihatkan peningkatan apabila jumlah penduduk bekerja terus melonjak secara berterusan dengan Oktober 2023 didapati seramai 16.40 juta individu menyertai segmen ekonomi negara

Peningkatan ini menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) didorong hasil pewujudan pekerjaan di pasaran negara yang kekal konsisten. Setakat Oktober 2023 nisbah guna tenaga kepada penduduk dalam aspek pekerjaan tidak berubah iaitu  67.7% seperti bulan sebelumnya. 

Berdasarkan lonjakan bilangan pekerja itu, sektor Perkhidmatan menyumbang kepada jumlah penyertaan pekerja meliputi segmen Borong & Runcit, Makanan & Mnuman serta Pengangkutan & Penyimpanan. 

Manakala berlandaskan kategori pekerja pula – didapati jumlah penduduk yang suka bekerja sendiri terus meningkat dengan pertambahan 10,800 individu kepada 2.99 juta pekerja, diikuti status pekerja yang menerima gaji seramai 12.34 juta, pekerja keluarga tanpa gaji (493,800) dan pekerja berstatus majikan (574,700)

Paras kadar pengangguran pula kekal di tahap 3.4% kepada 570,900 penganggur – di mana daripada jumlah ini seramai 457,200 penganggur aktif iaitu kekal mencari pekerjaan dan 113,800 penggangur pula diklasifikasikan tidak aktif mencari pekerjaan.