Artikel

Harga Rumah Dijangka Naik 9.95%, Kadar Sewa Pula Meningkat 9.57% – Pada 2024

Dalam tempoh 12 bulan mendatang, terdapat potensi harga kediaman di Malaysia akan meningkat 9.95%, diikuti kadar sewa pula naik sebanyak 9.57% pada 2024. 

Tinjauan di bawah penyelidikan hartanah Malaysia oleh Juwai IQI pada suku keempat 2023 ini menunjukkan senario itu akan didorong kesan peningkatan modal serta pertumbuhan sewa dilihat mampu menggalakkan pelabur dan penyewa kembali ke pasaran. Maka terdapat potensi kenaikan harga berlaku. 

Lebih terperinci, Kuala Lumpur dan Selangor menjadi antara lokasi yang miliki kenaikan mendadak dengan harga kediaman naik sekitar 9.7%, sementara sewa pula 9.9%. 

Berdasarkan tinjauan nisbah beli-sewa juga, ia mendedahkan keyakinan pasaran hartanah semakin kukuh apabila 91.1% responden akui menyarankan pembelian kediaman pada tempoh semasa dan hanya 8.9% sahaja menyarankan tindakan menyewa. Situasi ini berkemungkinan decetuskan jangkaan harga akan meningkat pada tahun 2024. 

Setakat ini sahaja menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) terdapat peningkatan pembelian kediaman harga sederhana dengan mampu milik sekitar 51%. Ini meliputi nilai kediaman antara RM100,000 sehingga RM500,000. 

Selain pasaran semakin kukuh, kenaikan kos bahan binaan diikuti faktor lokasi, serta kemudahan awam juga menjadi antara faktor pendorong kepada pertambahan kos dalam jualan unit rumah di Malaysia. Maka untuk jangkaan kenaikan harga dan sewa ini, terdapat potensi penawaran harga rumah sekitar RM200,000 akan mengecill dan lebih sukar didapati di negara secara berperingkat kelak.