Dalam usaha menjernihkan semula aliran kewangannya, operasi AirAsia kini turut ingin mengekalkan penawaran harga tiket penerbangan yang lebih berpatutan kepada pengguna mereka – meskipun berdepan tekanan kos operasi.
Namun pada langkah tersebut, AirAsia meminta semua pihak untuk memahami akan situasi semasa serta kerugiaan yang ditanggung operasi berikutan kesan krisis pandemik sebelum ini dan ketidaktentuan kos minyak semasa.
Tony Fernandes menjelaskan pada sidang pelancaran pesawat khas semalam di KKIA – walaupun operasi berdepan kerugian pendapatan namun AirAsia kekal menjadi antara jenama penerbangan yang menawarkan pilihan kos tambang berpatutan. Menurutnya 92% daripada penerbangan domestik adalah daripada penawaran bernilai rendah. Dan pada tahun lalu pihaknya telah kehilangan RM4 billion, sementara suku lepas pula kerugian sekitar RM400 juta.
Persekitaran ini didorong hasil tekanan kos minyak dan pengukuhan nilai dolar AS. Tony menegaskan 75% daripada kos mereka adalah dalam dolar AS, maka sekiranya ia semakin mengukuh, kos operasi juga semakin meningkat.
Susulan itu, matlamat untuk menurunkan harga tiket dapat direalisasikan namun memerlukan sokongan kewangan lebih tinggi bersama sokongan selia dari pihak pentadbiran dan lapangan terbang.