Artikel

Tahap Sejahtera Rakyat Malaysia Naik 2.5% – DOSM

Tahap kesejahteraan rakyat Malaysia kini didapati semakin bertambah-baik, apabila meningkat 2.5% kepada 121.2 mata bagi tahun 2022 berbanding 2021 dengan 118.3 mata.

Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia adalah untuk mengukur tahap kesejahteraan rakyat negara dalam perspektif ekonomi dan sosial.

Peningkatan berterusan ini menurut Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) – dicetus hasil peningkatan kesejahteraan ekonomi yang meningkat 3.6% kepada 130 mata dengan peningkatan pengangkutan (8%), Pendidikan (4.1%) serta pendapatan dan pengagihan (5%). 

Selain itu tahap  kesejahteraan sosial juga turut mendorong peningkatan prestasi kesejahteraan rakyat negara – mencatatkan kenaikan 1.8% kepada 116.4 mata dengan hiburan dan rekreasi (20.8%), kebudayaan (6.5%), alam sekitar (3.4%) dan perumahan (1.6%). 

Secara menyeluruh tahap sejahtera rakyat negara telah meningkat 21.2 mata indeks sepanjang tempoh 22 tahun yang lalu sejak tahun 2000.