Penggunaan pengangkutan awam di Malaysia kini dilihat semakin rancak, apabila secara puratanya jumlah penduduk negara yang menggunakannya telah meningkat sekitar hampir 1.1 juta sehari.
Jumlah ini menurut tinjauan Prasarana setakat akhir November 2023, adalah hasil purata daripada penggunaan harian untuk perkhidmatan tren seperti LRT, MRT dan Monorel sebanyak 835,119 sementara purata penggunaan khidmat bas RapidBus pula sejumlah 258,710.
Angka ini menjadikan ia jumlah tertinggi penggunaan harian telah diraih negara semenjak Malaysia dilanda krisis pandemik COVID-19 sebelum ini. Malah, usaha Prasarana tingkatkan kualiti khidmat pengangkutan awam mereka juga turut menjadi antara faktor mendorong lebih ramai penduduk negara memanfaatkan akses ini.
Antaranya pihak RapidRail telah menambah-baik kualiti dengan perbaharui beberapa gerabak tren baharu, disusuli RapidBus pula menambah bilangan bas di sekitar Lembah Klang menjadikan operasi lebih efisien.
Tidak hanya itu pelaksanaan laluan lorong bas khas turut memacukan lagi usaha pengangkutan awam negara – bagi memastikan perjalanan pengguna lebih cekap dengan kadar trafik sesak yang lebih rendah.
Menerusi pemerkasaan secara berterusan ini, Prasarana optimis peningkatan pengguna pengangkutan awam dapat terus dipertingkatkan dan mencapai matlamat negara untuk memiliki 40% penduduk negara memanfaatkan kemudahan tersebut secara berperingkat di masa hadapan kelak.