Tahukah anda, ketika ini rakyat Malaysia membelanjakan kurang daripada 2% daripada KDNK ekonomi negara untuk keperluan insurans selain nyawa. Angka yang rendah ini sekaligus menunjukkan masih terdapat jurang yang tinggi akan kesedaran awam tentang kepentingan perlindungan khususnya kalangan B40.
Memahami kelemahan itu, TNG Digital bersama Yayasan Prihatin Nasional kini membolehkan pengguna untuk menyalurkan sokongan tunai melalui Dana Rahmah, di aplikasi TNG eWallet. Ini bermakna inisiatif tersebut membenarkan orang awam untuk mengambil bahagian menawarkan perlindungan insurans melalui sokongan derma kepada golongan B40.
TNG eWallet Dana Rahmah – bertujuan menyediakan perlindungan insurans kemalangan peribadi percuma kepada golongan B40 melalui pengumpulan dana awam. Serta bertujuan mendidik golongan B40 untuk memahami aturan keselamatan kewangan bersama TNG eWallet.
TNG optimis usaha ini berupaya menggalakkan orang awam untuk memberi pulangan semula kepada masyarakat – di samping memanfaatkan medium aplikasi kewangan sebagai platform untuk menyalurkan kebajikan secara berkala. Tindakan ini turut akan menggalakkan semua pihak laksana transaksi secara nirtunai. Ini antara manfaat utama bakal diraih kumpulan yang layak kelak:
- Kematian @ Hilang Upaya Kekal akibat kemalangan sehingga RM30,000
- Perbelanjaan Perubatan akibat sebarang kecederaan sehingga RM300
- Elaun hospital kesan kemalangan sekitar RM50 sehingga bagi 1 bulan
- Kos kebumi sebanyak RM500
Lebih menarik, penyertaan orang awam pada inisiatif ini turut membolehkan pengguna layak mendapatkan tuntutan cukai pendapatan. Maka setiap sumbangan yang disalurkan, dinasihatkan untuk menyimpan rekod sedemikian bagi tujuan dokumentasi proses tuntutan percukaian kelak. Selain itu, individu boleh menyumbang dana bermula RM0.01 dan tiada sebarang had minimum sumbangan ditetapkan. Ia tertakluk kepada ehsan para pengguna dalam penyertaan inisiatif tersebut.
Setakat ini, agenda itu telahpun dimulakan pada 20 November lalu dengan membolehkan pengguna menyertai Dana Rahmah dan menderma secara terus kepada Yayasan Prihatin Nasional menerusi TNG eWallet. Dan difahamkan permohonan insurans tersebut akan dibuka mulai Januari 2024 kelak. Permohonan tersebut hanya tersedia buat pengguna TNG eWallet yang berdaftar dengan akaun yang sah sahaja. Ini antara kriteria yang dimaklumkan :
- Warganegara Malaysia berumur antara enam belas (16) hingga enam puluh (60) tahun
- Pengguna Touch ‘n Go eWallet yang berdaftar dengan akaun yang sah dan disahkan
- Memenuhi kelayakan B40 seperti yang disahkan oleh Yayasan Prihatin Nasional
- Berjaya memohon Insurans Tajaan melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet atau alternatifnya, https://www.touchngo.com.my/dana-rahmah
Pada usaha itu, TNG menyasarkan inisiatif ini untuk mencapai perolehan dana sehingga RM2.8 juta bagi menyediakan perlindungan kepada 70,000 individu yang layak kelak. Setakat pertengahan November ini, sejumlah RM13,100 telah dicapai TNG pada jumlah sumbangan.