Sebagaimana yang dimaklumkan, mulai Jun 2024 kerajaan akan mula laksanakan Dasar Gaji Progresif secara rintis melibatkan 1,000 syarikat terpilih di pasaran negara. Melalui pelaksanaan itu, Kementerian Ekonomi memberi jaminan kos pelaksanaan rintis selama 3 bulan itu tidak akan lebihi RM30 juta.
Jelas kementerian pada sesi pembentangan Dewan Rakyat hari ini – kos tersebut didasari berasaskan jumlah pekerja yang kecil serta penyertaan syarikat yang terpilih sahaja.
Malah fokus utama dasar ini untuk peringkat awal akan tertumpu kepada kumpulan pekerja yang miliki gaji di bawah RM5,000 secara bulanan. Tahukah pembaca ketika ini, sekitar 70% golongan pekerja negara meraih gaji bulanan bawah RM5,000. Situasi ini didorong susulan 90% syarikat di Malaysia adalah PMKS dan kumpulan ini menjadi antara operasi yang renyah dalam melaras naik struktur gaji di pasaran.
Menyedari kelemahan itu, kementerian melihat Dasar Gaji Progresif memiliki potensi yang besar untuk membantu struktur ekonomi negara, mencapai taraf penawaran gaji yang lebih baik.
Berdasarkan andaian lanjut, sekiranya insentif sekitar RM2 bilion disediakan oleh kerajaan (anggaran peruntukan ini berlandaskan kemampuan semasa negara). Kementerian melihat sokongan tersebut, berupaya menggalakan nilai tambah kepada pertumbuhan KDNK Malaysia sekitar RM3.3 bilion.
Lebih menarik aturan dasar ini turut akan memberi kesan tambahan kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekitar RM790 juta dan hasil cukai pendapatan negara juga akan bertambah sebanyak RM1.8 bilion pada tahun pelaksanaan.
Situasi ini berpotensi dicapai kesan kenaikan gaji berikutan tahap kuasa beli pengguna akan menjadi lebih besar dan ini dapat diterjemahkan dalam aliran perbelanjaan ekonomi Malaysia kelak. Maka secara langsung lebih ramai pihak akan melunaskan cukai dan KWSP turut meningkat.
Selain itu kadar produktiviti pekerja di negara turut akan bertambah-baik, menjadikan segmen ekonomi lebih agresif dalam meningkatkan pertumbuhan negara secara berperingkat.