Kesan daripada kos bahan mentah tenusu yang lebih seimbang, diikuti margin operasi lebih baik dan segmen aiskrim Inside Scoop yang membrangsangkan – Farm Fresh kini berjaya melonjakkan prestasi operasinya sekitar 14.33% kepada untung bersih RM12.79 juta untuk suku kedua bagi tahun kewangan 2024.
Strategi kumpulan dalam mempelbagaikan lagi segmen pelaburan mereka ternyata membuahkan hasil – ini dapat diperlihat apabila pendapatan operasi turut meningkat kepada RM198.3 juta naik 22.3% berbanding tempoh yang sama pada 2023 sekitar RM162.14 juta. Untuk makluman perolehan ini adalah paras tertinggi yang pernah diraih kumpulan.
Mengikut makluman kepada Bursa Malaysia, dinamik prestasi ini disumbangkan oleh penjualan yang baik pada penyertaan kumpulan dalam segmen restoran dan kafe, jualan susu UHT, serta Inside Scoop.
Lebih menarik, segmen aiskrim itu dijangka akan terus memaparkan peningkatan hasil apabila Farm Fresh memaklumkan telah melengkapkan pengambilalihan 70% kepentingan dalam Sin Wah Ice Cream Sdn Bhd – yang cukup sinonim dengan jualan aiskrim potong di pasaran negara.
Melalui kepentingan itu ia akan mengukuhkan lagi segmen Farm Fresh dalam pasaran aiskrim di Malaysia.