Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) Pengeluaran Tempatan yang menjadi penanda aras pada kos barang di peringkat pengeluar di pintu kilang – kini memaparkan kos mulai menurun -0.3% pada Oktober 2023 selepas alami kenaikan 0.2% pada September 2023 lalu.
Penurunan ini menurut tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dicetuskan oleh menyusutan kos pada sektor Pembuatan -0.7% kesan penurunan kos pada segmen pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-8.8%) dan pembuatan produk makanan pula -4.2%.
Tidak hanya itu Bekalan Elektrik & Gas juga turut menunjukkan penurunan -0.5% sementara berbeza pula dengan sektor Pertanian, Perhutanan & Perikanan memaparkan peningkatan kos 3.8% susulan berlaku kenaikan dalam kos penternakan (4.3%), tanaman kekal (3.8%), dan sektor Perlombongan juga naik 0.5%.
Manakala kos untuk peringkat pemprosesan pula memperlihatkan beberapa dinamik naik turun kos seperti bahan mentah untuk diproses telah alami kenaikan 5.3%, sementara barang komponen perantaraan pula menurun -0.3% dan produk barangan telah siap pula naik 2.2%.
Selanjutnya perbandingan bersama negara luar terpilih pula menunjukkan tidak hanya Malaysia alami penurunan kos tetapi negara seperti Jerman turut menurun -11.0%, diikuti Thailand (-2.3%), China (-2.6%) manakala AS pula naik 1.3%, Jepun (0.8%) dan Korea (0.8%).