Pengasas Alibaba, Jack Ma kini telah menubuhkan sebuah syarikat baharu yang memfokuskan jualan makanan yang dibungkus. Syarikat ini dinamakan sebagai “Hangzhou Ma’s Kitchen Food”, dan telah ditubuhkan pada minggu lepas di China.
Langkah Jack Ma menubuhkan syarikat ini dilihat selari dengan fokus beliau dalam arena pertanian selepas mengurangkan fokus pada kumpulan Alibaba sebelum ini. Maklumat lanjut berkenaan syarikat baharu Jack Ma ini masih samar-samar, termasuk ia masih menjadi persoalan sama ada makanan yang ditawarkan adalah sudah sedia masak, atau sebaliknya. Mengikut pendaftaran syarikat, ia akan memfokuskan jualan makanan dibungkus, pemprosesan produk pertanian, dan jualan produk pertanian yang boleh dimakan.
Industri makanan yang dibungkus dan sedia-makan ini sedia meningkat naik di China kebelakangan ini, dan menerima fokus ramai pelabur. Selain China, pelbagai negara turut melihat kepada potensi industri “Ready-To-Eat” ini yang menjadi pilihan ramai pengguna dalam mengurangkan kos, dan mendapatkan makanan dengan lebih pantas.