Artikel

Gaji Pekerja Malaysia Dijangka Purata Naik 5.1% – Mulai Tahun 2024

Ternyata tahun 2024, akan menjadi tahun yang menarik buat pasaran pekerjaan di Malaysia – apabila dijangka purata gaji di negara berpotensi meningkat sebanyak 5.1% menurut tinjauan Mercer pada Kajian Jumlah Imbuhan 2023

Kenaikan ini mengikut dapatan yang didasari berlandaskan penyertaan 668 syarikat multinasional (MNC), didorong hasil aliran yang lebih positif dalam segmen ekonomi Malaysia. Walaupun prestasi ekonomi negara kekal tumbuh sederhana namun kemajuan dalam aspek permintaan domestik, penawaran pekerjaan yang lebih aktif serta penurunan kadar pengangguran telah membantu pekerja negara meraih peningkatan manfaat secara berkala. 

Malah jumlah kenaikan purata gaji itu juga turut menjadi petunjuk, prestasi syarikat dan pekerja di negara semakin memulih. 

Selain Malaysia, beberapa negara serantau turut didapati bakal alami kenaikan gaji yang tinggi. Malah dijangka lebih baik berbanding pasaran negara – antara yang ditinjau adalah India dengan kenaikan gaji 9.3%, diikuti Vietnam (7.0%), Indonesia (6.5%), Filipina (5.7%), China (5.2%), Thailand (4.7%), Korea Selatan (4.4%) dan Singapura (4.2%). 

Manakala beberapa negara Asia pula didapati meraih kenaikan yang lebih kecil seperti Jepun (2.6%), Taiwan (3.8%) dan Hong Kong (3.9%). 

Berbalik kepada data Malaysia, meskipun kenaikan purata gaji negara tidak setinggi negara Asia yang lain – namun pertambahan peratusan gaji terus meningkat secara perlahan. Ia dapat dilihat dengan kenaikan purata gaji 2022 (4.8%), disusuli 2023 (5%) dan 2024 (5.1%). 

Melalui peningkatan ini, untuk pasaran Malaysia dijangka industri tenaga dan teknologi tinggi akan memacu pelarasan kenaikan gaji di negara pada tahun 2024 kelak.