Artikel

Belanjawan Sarawak 2024 Sedia Peruntukan RM13.601 Bilion – Lebih Tinggi 18%

Sarawak sedia bajet yang lebih tinggi pada persediaan tahun 2024, apabila kini mengumumkan peruntukan Belanjawan Sarawak 2024 berjumlah RM13.601 bilion iaitu 18% lebih tinggi berbanding tahun ini, iaitu sekitar RM11.53 bilion.

Pertambahan RM2,098 juta ini adalah sebahagian langkah negeri untuk perkasakan pembangunan sektor ekonomi. Di mana Sarawak menjangkakan hasil negeri pada 2024 berupaya mencapai RM12,749 juta – menjadikan ia matlamat hasil tertinggi yang pernah disasarkan berbanding sebelum ini. 

Berdasarkan komitmen itu, dijangka penyumbang utama kepada hasil ini adalah menerusi permintaan komoditi minyak sawit mentah, petroleum dan gas. Sementara hasil cukai pula berupaya diraih sekitar RM5,704 juta (45%) daripada jumlah hasil yang disasar pada 2024.

Manakala dana melibatkan pembangunan negeri pula diperuntukkan sejumlah RM9,038 juta. Agihan sedemikian dilihat berpotensi memacu ekonomi Sarawak secara berkala pada tahun 2024.