Artikel

Hampir 1.7 Juta Siswazah Malaysia Terima Kerja Tidak Sepadan Kemahiran – DOSM

Tahun 2022 memperlihatkan jumlah siswazah di Malaysia yang bekerja telah meningkat kepada 4.87 juta individu. Ini lebih tinggi berbanding tahun 2021 yang merekodkan seramai 4.59 juta siswazah telah bekerja di pasaran ekonomi negara. Meskipun peningkatan jumlah bekerja ini telah membantu menurunkan jumlah penganggur kalangan graduan Malaysia 3.7% kepada 187,800 penganggur – namun masih ramai graduan negara tidak miliki kerjaya setara dengan kemahiran pendidikan mereka.

Cabaran pasaran buruh Malaysia masih kekal, apabila 1.68 juta sisawazah didapati bekerja dalam jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakan serta kemahiran mereka. Angka ini merangkumi 224,000 siswazah bekerja selaku petugas perkhidmatan dan jualan (14.0%) diikuti pekerja sokongan perkeranian (10.7%) dan pekerja kemahiran serta pertukangan (4.9%).

Disusuli 78,100 individu pula adalah siswazah yang bekerja dalam kategori kemahiran rendah. Jumlah ini diperhatikan semakin menurun sebanyak 23.1% berbanding data sebelumnya.

Sementara jumlah siswazah yang terlibat pada kategori pekerjaan mahir pula seramai 3.19 juta individu. Di mana seramai 1.87 juta individu bertugas dalam pekerjaan profesional, diikuti juruteknik dan profesional bersekutu pula seramai 860,400 individu.

Mengikut pecahan negeri pula, secara jelas Selangor kekal menyumbang kepada jumlah siswazah bekerja dengan 1.4 juta individu, diikuti KL (479,400), Johor (472,800) dan Sabah (332,200).

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini didapati kumpulan siswazah berusia 24 tahun ke bawah menyumbang peratusan tertinggi pada pekerja yang miliki kerjaya tidak sepadan kemahiran. Meskipun cabaran pasaran buruh kalangan graduan kekal sama namun tahap kemahiran graduan Malaysia dilihat penting dalam memacu kemajuan ekonomi negara di masa hadapan.

DOSM menjangkakan kemasukan siswazah pada segmen ekonomi di Malaysia akan meningkat secara berkala khususnya peluang kerjaya yang setimpal dengan kemahiran mereka. Peluang itu disasar akan diraih berasaskan insiatif kerajaan yang kini sedang menambah-baik peluang pembangunan kemahiran berlandaskan keperluan pasaran semasa.

Menerusi usaha berterusan itu, dijangka lebih banyak bakat baharu dapat diberi ruang dan peluang untuk perkasakan ekonomi Malaysia dari semasa ke semasa.