Artikel

Pengguna Malaysia-Singapura Kini Boleh Laksana Transaksi P2P Rentas Sempadan – Menerusi DuitNow, PayNow 

Kerjasama yang dimulakan sejak akhir Mac lalu pada jalinan pembayaran kod QR, kini secara rasminya dilanjutkan membolehkan pengguna Malaysia-Singapura laksana sistem pembayaran masa nyata rentas sempadan menerusi DuitNow dan PayNow. Pelancaran melibatkan usaha Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) itu sekaligus membenarkan penduduk kedua negara meraih akses pemindahan dana P2P (person-to-person) secara terus dengan jaminan keselamatan transaksi.

Menerusi jalinan ini, pengguna boleh menghantar dan menerima dana sehingga RM3,000 atau S$1,000 setiap hari dengan menggunakan nombor telefon mudah-alih atau VPA penerima. Sebagai perincian, pengguna di Malaysia perkhidmatan ini boleh digunakan oleh semua pengguna Maybank, CIMB dan TNG Digital terlebih dahulu.

Untuk pengguna TNG Digital difahamkan ia akan ditawarkan secara berfasa, di mana penghantaran wang keluar iaitu Malaysia ke Singapura akan tersedia sekarang manakala perkhidmatan penerimaan wang masuk iaitu Singapura ke Malaysia akan ditawarkan menjelang Disember 2023 kelak.

Sementara institusi kewangan lain akan meraih akses tersebut secara berperingkat. Manakala pengguna Singapura pula ia tersedia kepada pengguna Liquid Group, Maybank Singapura, OCBC dan UOB secara berfasa. Institusi-institusi tersebut akan meningkatkan bilangan kumpulan pengguna yang layak secara berperingkat mulai hari ini hingga akhir bulan Januari 2024.

Langkah ini adalah untuk membolehkan pelanggan membiasakan diri dengan perkhidmatan tersebut.

Menerusi kebersamaan ini, ia dilihat akan meningkatkan lagi aliran perbelanjaan antara kedua negara. Buat pengetahuan umum, setakat 2022, transaksi P2P dan pengiriman wang antara kedua negara telah mencapai jumlah sekitar RM7.8 bilion bersamaan S$2.3 bilion. Maka pemacuan ini akan membantu Malaysia-Singapura menggandakan lagi nilai tersebut.