Aliran ekonomi negara bagi suku ketiga 2023 menunjukkan peningkatan yang lebih baik – apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini mencapai 3.3% dengan nilai RM397.6 bilion, lebih tinggi berbanding 2.9% pada suku kedua 2023 lalu.
Prestasi ini mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) didorong hasil pertumbuhan yang baik ditunjukkan pada sektor ekonomi negara seperti Perkhidmatan(5.0%), Pembinaan (7.2%) dan Pertanian (0.8%). Sebagai pecahan prestasi ekonomi pada bulan Julai 2023 lebih tinggi dengan pertumbuhan 4.7%, disusuli Ogos 2023 (3.2%) dan September (2.5%).
Tidak hanya itu, pertumbuhan menyeluruh tersebut turut dipacu peningkatan perbelanjaan akhir isi rumah di negara yang telah menyumbang 62.1% kepada KDNK serta pembentukan modal negara atau pelaburan ke atas aset tetap negara diperhatikan semakin mengukuh dengan perkembangan 5.1%.
Senario ini sekaligus menjadikan prestasi suku ketiga lebih baik berbanding sebelum ini. Selain Malaysia, terdapat beberapa negara serantau juga turut berdepan peningkatan ekonomi yang lebih perlahan – antaranya Indonesia berkembang 4.9%, diikuti Singapura 0.7% dan China pula 4.9%.
Situasi sedemikian didorong hasil perolehan permintaan eksport dan import yang lebih sederhana pada pasaran antarabangsa. Untuk Malaysia sahaja, aliran eksport dan import telah alami penyusutan 12% dan 11.1% bagi suku ketiga 2023.