Artikel

DHL Express Kini Miliki 61 Kenderaan Penghantaran Elektrik – Optimis Perluas EV Menjelang Akhir 2024

Untuk memastikan persekitaran ekonomi negara terus menerima sokongan kelestarian dengan komitmen mobiliti bersih – DHL Express kini menambah kenderaan penghantaran elektrik mereka dengan unit baharu 44 van elektrik dan 7 skuter elektrik di pasaran Malaysia. 

Peningkatan komitmen itu sekaligus menjadikan operasi kini miliki 61 kenderaan penghantaran eletrik sepertimana yang disasarkan pada matlamat tahun ini. Angka itu membawa peningkatan kepada unit van elektrik kepada 54 unit. 

Malah turut difahamkan usaha tersebut akan disokong menerusi kemasukan van elektrik CAM EA4 serta Foton iBlue yang dijangka bakal lengkapkan operasi kumpulan untuk penuhi penghantaran semasa. Difahamkan penambahan unit kenderaan penghantaran elektrik ini akan membawa pengurangan 74% pada jumlah kos bahan api dan 63.5% pada peningkatan kecekapan karbon berbanding penggunaan van enjin (ICE). 

Selain Lembah Klang, perluasan unit kenderaan penghantaran elektrik ini turut diterapkan pada operasi di Pulau Pinang serta Johor. Melalui pemerkasaan ini, DHL Express optimis merealisasikan sasaran mereka untuk menjadikan 23% daripada kenderaan penghantarran mereka beralih kepada EV menjelang akhir 2024. 

Usaha ini sekaligus akan membantu meletakkan DHL Express Malaysia pada landasan untuk mencapai sasaran kumpulan global dengan meraih 60% penggunaan EV menjelang 2030 kelak.