Suku ketiga 2023 memperlihatkan prestasi ketepatan masa kalangan syarikat penerbangan domestik sedikit menurun kepada 79% berbanding prestasi ketepatan masa suku kedua 2023 dengan 82%.
Penurunan ini menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) didorong atas beberapa isu antaranya sudut teknikal dan perubahan cuaca semasa. Setakat suku ketiga 2023, didapati Malaysia Airlines dan AirAsia menjadi syarikat penerbangan yang miliki prestasi tepati masa paling terendah dengan kadar 74%.
Sementara SKS Airways pula mencapai prestasi terbaik pada isu ketepatan masa dengan 95%, diikuti MASwings (93%), Batik Air (82%) dan FireFly (77%).
Bagaimanapun menurut MOT, situasi kelewatan dan penangguhan perjalanan ini tidak hanya tertumpu kepada peranan syarikat penerbangan semata. Ia turut merangkumi peranan pengurusan trafik udara serta lapangan terbang berkaitan.
Maka untuk memastikan isu tidak terus membebankan para pengguna khususnya berkaitan kerugian masa – dimaklumkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) kini dalam proses menetapkan penanda aras prestasi utama (KPI) ke atas syarikat penerbangan tempatan.
Melalui aturan ini, ia secara langsung akan menjadi pengukur kepada syarikat penerbangan domestik berhubung prestasi masa penerbangan mereka dan sekiranya gagal dipenuhi syarikat penerbangan domestik terlibat bakal berdepan pengenaan denda. Difahamkan proses tersebut akan selesai menjelanh suku pertama 2024 kelak.
Adanya pendekatan tersebut ia dilihat berpotensi melandaikan isu kelewatan penerbangan serta penangguhan jadual kepada pengguna. Ia sekaligus turut akan meningkatkan kualiti penerbangan domestik negara secara berkala.