Artikel

Hampir 5.5 Juta Pekerja Malaysia Kini Dalam Kategori Separuh Mahir – DOSM

Segmen ekonomi di negara dilihat terus rancak apabila menyaksikan peningkatan pada jumlah penawaran pekerjaan dalam pasaran buruh semasa. Setakat suku ketiga 2023 – didapati terdapat 8.9 juta jawatan telah tersedia pada sektor ekonomi Malaysia dengan 8.71 juta jawatan diisi oleh pekerja negara. 

Berlandaskan aliran positif itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada data Statistik Guna Tenaga Suku Ketiga 2023 mendapati peningkatan tawaran kerja turut meningkatkan jumlah tahap kemahiran pekerja dengan Pekerja Mahir seramai 2.17 juta, diikuti Pekerja Separuh Mahir seramai 5.45 juta dan Pekerja Berkemahiran Rendah pula 1.08 juta individu.

Sementara jumlah kekosongan jawatan pula sebanyak 190,900 pekerjaan – di mana 55.3% kekosongan masih tersedia buat Pekerja Separuh Mahir, Pekerja Mahir (25.4%) dan Pekerja Berkemahiran Rendah (19.3%). 

Mengikut data ini, secara jelas pasaran tenaga kerja negara terus meluaskan penawaran peluang pekerjaan kepada tahap Separuh Mahir apabila sekitar 60.8% jawatan baharu diwujudkan untuk skop ini, disusuli Pekerja Mahir (28.9%) dan Pekerja Berkemahiran Rendah (10.3%). 

Secara menyeluruh, sektor Perkhidmatan terus menjadi penyumbang kepada penyertaan tenaga kerja dalam segmen ekonomi dengan 52.5% jawatan diisi, diikuti sektor Pembuatan (27.1%), sektor Pembinaan (14.2%), Pertanian (5.3%) dan Perlombongan & Pengkuarian (0.9%).