Setakat akhir Oktober lalu, jumlah anggota kesatuan sekerja di Malaysia kini telah mencapai lebih 1 juta orang kepada 1,008,371 pekerja berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) – di mana dicapai dua tahun lebih awal berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu pada tahun 2025.
Adanya penyertaan yang mengalakkan ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada sidang Perhimpunan Kesatuan Sekerja Kebangsaan 2023 semalam (14 Nov) telah memberi jaminan usaha itu akan meningkatkan lagi perlindungan ke atas hak asasi dan kebajikan pekerja berlandaskan segmen ekonomi yang diceburi mereka.
Ketika ini, Malaysia memiliki lebih 16 juta pekerja dan sewajarnya nisbah ideal yang perlu dicapai negara adalah separuh daripada jumlah tersebut menyertai keanggotaan kesatuan sekerja berlandaskan piawaian antarabangsa. Bagaimanapun negara memahami pelbagai inisiatif perlu diperkasakan secara berkala untuk mencapai matlamat tersebut.
Berdasarkan jangkaan hadapan, KSM menyasarkan pertambahan sekitar 50,000 pekerja berupaya dicapai pada tahun 2024 kelak.