Artikel

139 Kawasan Di KL, Bakal Dibangunkan Semula Sehingga 2040

Untuk terus menghidupkan semula persekitaran ibu kota negara, Kuala Lumpur – didapati sekitar 139 kawasan akan alami pembangunan semula bagi menyokong pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia di bawah perancangan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040). 

Aturan mengikut matlamat ini tidak sekadar mewujudkan semula persekitaran yang lebih baik tetapi turut membantu Malaysia memulihara ekosistem hijau bandar di samping meneliti ruang menghasilkan pelaburan baharu berkaitan kawasan pembandaran. Ini meliputi pengaktifan kawasan bangunan lama – antaranya Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Medan Pasar, Jalan Tangsi, dan Pasar Sungai Besi. 

Tidak hanya itu, rancangan mewujudkan aktiviti pembangunan bercampur pada zon guna tanah pembangunan semula di sekitar kawasan transit turut telah diteliti. Antaranya melibatkan kawasan seperti Federal Cable, Jalan Berangan, Jalan Kenanga, Jalan Tiong Nam, Jalan Haji Taib, Jalan Alor, Jalan Raja Bot, Jalan Rahmat, Jalan Melayu-Jalan Masjid India, Jalan Raja Laut, Jalan Petaling, Jalan Inai, Jalan Maharajalela dan Jalan Talalla. 

Adanya pemerkasaan ini, ia sekaligus akan membantu Malaysia meningkatkan semula nilai sejarah, persekitaran, kekuatan ekonomi serta taraf sosial di ibu kota negara. Secara langsung negara berupaya memacu segmen ekonomi bandar yang lebih sistematik.