Walaupun Malaysia menjadi antara peneraju dalam industri halal global, Selangor melihat masih banyak potensi pasaran ini yang belum diteroka negara. Berlandaskan peluang tersebut, Selangor kini memaklumkan akan peruntuk RM3 juta untuk membantu pemain negeri meluaskan jejak potensi ekonomi tersebut.
Menurut Menteri Besar Amirudin Shari, setakat ini negara lebih tertumpu kepada sektor makanan halal dan kegiatan ekonomi ini telah berjaya menguntungkan negara RM128.8 bilion setakat 2021. Di mana 28.9% eksport produk halal negara adalah tertumpu dalam makanan dan ramuan halal.
Maka untuk perluasan itu, Selangor pada pembentangan bajet kali ini berhasrat meluaskan potensi tersebut kepada sektor farmaseutikal, kosmetik, fesyen, pelancongan serta rekreasi.
Usaha ini akan melibatkan pemacuan dalam Inovasi Semakan Digital Pantas Pensijilan Halal, pembangunan Pangkalan Data kalangan PMKS serta menggalakkan lagi penyertaan peniaga pada perolehan sijil halal.
Aturan itu turut akan disokong berasaskan penganjuran Selangor International Halal Convention 2024 yang akan dilaksanakan mulai Julai 2024 kelak.