Artikel

Rangka Penuaan Bakal Tersedia Pada 2024 – Bantu Ekonomi Malaysia Atasi Isu Produktiviti Kerja

Mulai suku pertama 2024, negara bakal menampilkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan bagi mengatasi isu kemerosotan dividen demografi atau potensi manfaat ekonomi merosot disebabkan kesan kejatuhan populasi umur bekerja di Malaysia kelak.

Aturan berlandaskan piawaian Bank Dunia itu kini sedang diteliti Kementerian Ekonomi, selari dengan tindak balas negara yang bakal memiliki jumlah masyarakat tua yang lebih ramai dalam tempoh 21 tahun mendatang iaitu menjelang 2044.

Setakat tahun 2021 sahaja, sekitarr 7% daripada jumlah penduduk negara didapati berusia 65 tahun dan ke atas. Senario ini secara langsung akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi, produktiviti tenaga kerja, keperluan perlindungan sosial serta tahap ekonomi penjagaan negara.

Antara usaha yang telah digarapkan negara pada isu ini, adalah akan meningkatkan pelaburan dalam perkhidmatan dan rawatan kesihatan reproduktif untuk memperlahankan penurunan kadar kelahiran. Usaha ini termasuk kaedah rawatan kesuburan in-vitro fertilisation (IVF) pada kadar yang lebih rendah daripada harga pasaran. Dalam hal ini, Kerajaan telah memperuntukan  sejumlah RM171 juta bagi pembinaan Pusat Subfertiliti Negara di Shah Alam, Selangor.

Negara juga turut meneroka potensi ekonomi penjagaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi. Penuaan populasi mewujudkan peluang untuk ekonomi penjagaan berkembang pesat dan maju untuk membentuk satu industri baharu. Dalam usaha itu, negara turut akan mengalakkanpelaburan swasta untuk meningkatkan keupayaan penawaran serta membantu membina pasaran perkhidmatan penjagaan yang cekap dan berkesan melalui pengukuhan kerangka perundangan.