Hasil strategi mengurangkan kos dan beroleh jualan yang lebih tinggi pada pasaran bagi suku ketiga 2023 – Hup Seng Industries kini berjaya meraih lonjakan untung bersih kepada RM13.02 juta berbanding RM3.84 juta pada tempoh yang sama pada 2022.
Prestasi ini sekaligus memperlihatkan berlakunya kenaikan keuntungan sebanyak 3 kali ganda pada jualan produk Hup Seng.
Berdasarkan makluman bersama Bursa Malaysia, kedudukan positif ini telah diraih setelah kumpulan berjaya menyeimbangkan tekanan kos operasi yang dialami mereka pada suku ketiga 2022 lalu. Kini status pendapatan secara suku tahunan juga semakin bertambahbaik apabila meningkat 34.19% kepada RM94.19 juta pada suku ketiga 2023. Perolehan ini turut dipacu oleh sumbangan pasaran eksport lebih tinggi dalam permintaan Thailand dan Singapura.
Secara menyeluruh, prestasi selama 9 bulan pertama 2023 ini menunjukkan untung bersih pengeluar biskut negara telah melonjak sekitar 130.17% kepada RM31.41 juta berbanding tempoh yang sama 2022 dengan RM13.64 juta.
Melalui pemacuan itu, Hup Seng merancang meningkatkan lagi modal operasi mereka dengan memperkasakan kualiti produk pengeluaran. Ini termasuklah meluaskan lagi penguasaan pasaran produk biskutnya di serantau secara berperingkat.