Setelah melaksanakan kerjasama dengan penawaran akses pembayaran rentas sempadan melalui aplikasi perbankan dan dompet digital pada akhir Ogos lalu – kini PayNet, Payments Network Malaysia bersama Ant Group terus perluaskan akses kewangan tersebut dengan laksana penambahan medium pembayaran digital lain bagi membolehkan pelancong dari 8 negara di Asia dan rantau menggunakan DuitNow QR di Malaysia untuk merancakkan lagi aliran perbelanjaan tempatan.
Aturan itu membenarkan pelancong bersama dompet digital yang disokong Alipay+, dapat berbelanja secara nirtunai (tanpa tunai) di Malaysia. Ia meliputi aplikasi seperti Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong), HelloMoney (Filipina), Hipay (Mangolia), MPay (Macau), Naver Pay (Jepun), Toss Pay (Korea Selatan) dan TrueMoney (Thailand).
Kesepakatan itu secara langsung meningkatkan lagi aliran transaksi dalam pelancongan negara, dengan membenarkan lebih ramai pelancong Asia ke Malaysia nikmati pembayaran digital bersama di lebih 1.8 juta rakan niaga di pasaran.
Tambahan, usaha ini turut menepati sasaran negara pada Tahun Melawat Malaysia 2026 – yang menjangkakan seramai 23.5 juta ketibaan pelancong antarabangsa ke negara. Ini akan memudahkan aliran perbelanjaan direkodkan pasaran Malaysia.