Prestasi pasaran buruh di Malaysia kini terus memperlihatkan peningkatan apabila jumlah penduduk negara yang bekerja semakin melonjak, bertambah kepada 16.38 juta individu setakat September lalu.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini memperlihatkan peningkatan jumlah penduduk bekerja itu telah disumbang oleh sektor Perkhidmatan dalam arena Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman serta Pengangkutan dan Penyimpanan.
Diikuti sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan & Pengkuarian dan Pertanian turut menunjukkan berlakunya pertambahan tenaga kerja dalam segmen ekonomi di Malaysia.
Berdasarkan pecahan, seramai 12.33 juta individu (75.3%) adalah berstatus pekerja, sementara 2.97 juta individu pula berstatus bekerja sendiri iaitu kumpulan yang terdiri daripada kumpulan yang bekerja sebagai pengusaha peniaga kecil, peruncit, penjaja, penjual di pasar dan gerai serta pekebun kecil.
Manakala kumpulan pekerja keluarga tanpa gaji pula mencatatkan jumlah seramai 492,400 individu dan majikan pula seramai 573,700 individu.

Peningkatan jumlah pekerja di negara ini menurut DOSM turut didorong hasil penurunan bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu. Di mana jumlah tersebut telah menurun sebanyak 1,900 individu kepada 81,300 individu.
Malah, kadar pengangguran di Malaysia juga terus memaparkan penurunan apabila jumlah penganggur kini 573,700 individu dengan kadar 3.4%. Mengikut perincian, pada jumlah itu seramai 458,900 penganggur ditakrifkan sebagai penganggur aktif – giat mencari pekerjaan meskipun terdapat 27,992 individu (6.1%) dicatatkan telah menganggur lebih dari setahun. Ini menunjukkan masih terdapat kekangan penawaran pekerjaan dalam sesetengah segmen ekonomi negara.