Artikel

E-Dagang Berpotensi Pacu Ekonomi Digital Malaysia Capai $30 Bilion – Menjelang 2025

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dilihat lebih dinamik berrbanding negara serantau apabila menunjukkan permintaan domestik kekal berdaya tahan meskipun berdepan tekanan faktor luar disebabkan ketidaktentuan ekonomi semasa. Peningkatan ini dapat diperlihat pada aliran pemulihan ekonomi digital negara yang berupaya mencapai nilai $23 bilion pada tahun 2023

Lebih menarik, data perkongsian menerusi laporan e-Conomy SEA Google bersama Temasek dan Bain & Company 2023 ini turut menjangkakan prestasi itu dapat disokong melalui pemerkasaan e-dagang negara yang disasar meningkat 10% kepada $16 bilion dan usaha itu berupaya membawa nilai ekonomi digital negara mencapai $30 billion menjelang 2025 kelak

Selain platform e-dagang, pemacuan segmen ekonomi pada tempoh 2025 seperti platform OTA iaitu pelancongan atas talian turut berpotensi menyumbang $7 bilion, diikuti media atas talian dengan $4 bilion dan pengangkutan serta makanan sekitar 13%.

Meskipun tahap kemasukan pelancongan negara masih perlahan namun kadar pemulihan dilihat semakin meningkat ditambah tabiat perbelanjaan isi rumah di Malaysia semakin rancak. Senario ini disokong hasil pemacuan dalam akses kewangan digital seperti kaedah pembayaran yang lebih mudah kod QR, dompet digital dan perbankan atas talian. Tidak hanya itu produk kewangan digital seperti insurans, pelaburan dan pinjaman juga turut meningkat dengan drastik – menjadikan aturan perbelanjaan telah meningkat secara berkala. 

Aliran ini sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi domestik Malaysia lebih utuh berbanding negara serantau yang lain. Sementara menjelang 7 tahun lagi iaitu 2030 – tinjauan kekal optimis menyasarkan pertumbuhan ekonomi digital negara mencapai sekitar $45 bilion hingga $70 bilion.