Artikel

Jumlah Kanak-Kanak Bawah 18 Tahun Di Malaysia Kini Sedikit Menurun – Dianggar Capai 9.13 Juta Orang

Jumlah kanak-kanak di Malaysia yang berusia bawah 18 tahun kini dianggarkan alami sedikit penurunan berbanding tahun lalu – dengan jangkaan seramai 9.13 juta kanak-kanak. Angka tersebut secara langsung membawa kepada 27.4% daripada jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2023 iaitu seramai 33.38 juta orang.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di bawah Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2023 ini memperincikan jumlah itu adalah pecahan kepada seramai 4.72 juta kanak-kanak lelaki dan 4.42 juta pula kanak-kanak perempuan.

Jumlah ini jelas memperlihatkan sedikit penurunan berbanding 2022, dengan jumlah kanak-kanak seramai 9.19 juta. Pengurangan itu didapati antaranya didorong oleh bilangan kelahiran hidup yang sedikit menurun sejak 2022.

Bagaimanapun secara menyeluruh berasaskan jumlah kanak-kanak mengikut negeri – Selangor menjadi negeri yang paling ramai bilangan kanak-kanak di bawah 18 tahun dengan 1.81 juta, diikuti Johor (1.11 juta), san Sabah (1.10 juta). Sementara dari aspek peratusan Putrajaya mencatatkan lonjakan % jumlah kanak-kanak pada tahun 2023 dengan 41.1%, diikuti Kelantan (34.4%) dan Terengganu (33.5%).

Manakala Kuala Lumpur pula menjadi wilayah yang mencatatkan peratusan jumlah kanak-kanak terendah iaitu 22.6%.