Artikel

PADU : Pemilikan Aset Individu, Jadi Antara Penentu Kelayakan Bantuan Sosial Rakyat

Bertepatan dengan matlamat negara dalam melaksanakan agihan bantuan bersasar bersama sokongan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mulai Januari 2024 kelak – antara fokus kriteria yang akan menjadi pengukur agihan adalah meneliti pemilikan aset kalangan penduduk negara. 

Ini kerana menurut Kementerian Ekonomi, sebelum ini sebarang penentuan bantuan difahamkan tidak mengambilkira pemilikan aset ke atas individu. Situasi itu secara langsung membawa kepada ketidakseimbangan agihan bantuan khususnya buat pihak yang tidak pernah mengisytiharkan pemilikan aset mereka. 

Maka keperluan mengemukakan pemilikan aset seperti kediaman, kenderaan, tanah dan beberapa segmen aset lain akan diutamakan dalam penentuan kelayakan bantuan bersasar negara. 

Menerusi kaedah ini, ia akan membantu pentadbiran untuk tidak lagi memberi bantuan ke atas kelas pendapatan tertentu semata-mata. Semua perlu akui terdapat kumpulan yang sewajarnya mendapat bantuan akan tetapi berikutan paras pendapatannya lebih tinggi menjadikan hak kumpulan ini dinafikan. 

Tidak hanya itu Kementerian Ekonomi pada sesi Parlimen turut menegaskan pihaknya akan melaksanakan pengesahan data bagi setiap maklumat yang dikemukakan penduduk negara di bawah PADU ini dan semakan itu akan dilaksana dengan teliti. Ini kerana hanya 60% pekerja negara yang berada di dalam sektor formal – secara langsung memiliki data pendapatan bersama kerajaan negara. Sementara 40% pekerja pula adalah bukan formal, maka proses pengesahan akan disoroti bersama kumpulan ini. 

Setakat ini, status pembangunan PADU telah mencapai kemajuan 72% dan sebanyak 29.8 juta data penduduk telahpun dimuat-naik pada sistem data tersebut. 

Selain pemilikan aset, kriteria lain yang turut akan diambilkira adalah pendapatan, isi rumah, tanggungan, lokaliti dan jarak ke tempat bekerja.