Artikel

YouTrip, Firma Singapura Raih $50 Juta Pada Siri B – Sasar Teroka Malaysia Menjelang Awal 2024

YouTrip, platform teknologi kewangan bagi dompet digital berbilang mata wang kini memaklumkan telah meraih $50 juta pada kutipan dana Siri B – perolehan ini secara langsung menjadikan jumlah perolehannya melebihi $100 juta sejak firma ditubuhkan. Pelaburan itu antaranya diketuai firma modal teroka Ligtspeed Venture, yang turut bertindak melabur pada Snap iaitu firma teknologi di bawah Snapchat. Menerusi perkembangan ini, terdapat jangkaan memaklumkan mereka bakal meluaskan jejak operasi dompet digitalnya ke Malaysia.

Disasarkan berlaku sekitar suku pertama 2024 dan mengikut makluman, perancangan ini akan memperlihatkan perkongsian YouTrip bersama pemain kewangan tempatan yang lain pada kemasukan mereka ke pasaran Malaysia.

Selain potensi perkembangan ke Malaysia, YouTrip turut merancang meningkatkan tenaga kerjaya dalam pasaran serantau di Asia Tenggara. Termasuklah perkembangan ke Indonesia, Filipina dan Vietnam. 

Buat pengetahuan umum, YouTrip kini tersedia di Singapura dan Thailand di mana dompet digitalnya telah dibentuk sejak 5 tahun lalu – membolehkan individu dan rakan peniaga menambah nilai baki melalui pindahan bank atau kad kredit dan menukarkan ia kepada lebih 150 mata wang tanpa melibatkan sebarang fi pertukaran asing atau had transaksi. Menerusi pertimbangan ke Malaysia, ini akan merancakkan lagi arena nirtunai dan mengalakkan lagi proses perbelanjaan dicapai oleh negara serantau.