Sepadan dengan langkah Malaysia untuk memperkasakan pengenaan cukai diikuti dengan pelarasan subsidi lebih bersasar – pentadbiran kini meletakkan sasaran Malaysia untuk mencapai kutipan cukai pada tahun 2024 sebanyak RM185 bilion.
Makluman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada laporan FMT ini dilihat mampu diraih dengan adanya sokongan pelaksanaan sistem e-Invois kelak – iaitu medium digital percukaian yang akan meningkatkan lagi kecekapan hasil negara dalam menjejaki perolehan.
Di mana aplikasi e-Invois akan memerlukan perniagaan untuk melamprkan rekod transaksi mereka dan melaporkan ia sepenuhnya secara atas talian bersama LHDN. Malah keupayaan sistem ini turut berupaya memenuhi sistem GST, sekiranya percukaian tersebut diperkenalkan semula.
Tidak hanya itu, sasaran jumlah itu turut dapat dicapai susulan LHDN meletakkan jaminan e-Invois berupaya menangkis ketirisan ekonomi bayangan – yang menyebabkan kerugian 21% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah sekitar RM330 bilion.
Setakat ini difahamkan pelaksanaan e-Invois akan mula dilaksana secara berperingkat mulai 2024 bersama kumpulan peniaga terpilih pada Jun 2024 dan menyeluruh mulai 2027 kelak. Adanya pencapaian kutipan cukai yang lebih tinggi, ia akan memacu negara meraih matlamat hasil kerajaan pada 2024 dengan pertumbuhan 1.5% kepada RM307.6 bilion – sepertimana yang disasarkan pada Belanjawan 2024 lalu.