Sama seperti golongan dewasa, anak muda negara juga turut berdepan kesan yang sama disebabkan tekanan ekonomi semasa – meskipun berdepan cabaran memasuki persaingan tenaga kerja di Malaysia, Gen Z kumpulan yang lahir pada tahun antara 1997-2012 menunjukkan daya ketahanan kewangan (53%) yang lebih baik pada tahun ini.
Situasi itu dapati diperlihat pada tinjauan Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus 2023 menunjukkan 48% Gen Z telah mula merancang strategi simpanan ke arah persaraan. Ini sekaligus membawa kepada tindakan melabur dalam kalangan mereka. Antara platform yang menjadi pilihan adalah ASNB, platform unit amanah dan komoditi seperti pelaburan dalam emas.
Tidak hanya itu, 31% Gen Z juga memperlihatkan penggunaan dompet digital yang rancak apabila peratusan ini menggunakan lebih daripada 3 dompet digital pada peranti pintar mereka. Ini ternyata lebih aktif berbanding kumpulan Milenial (24%) dan Gen X (22%).
Sementara berdasarkan persediaan simpanan pula, Gen Z menunjukkan 68% menyimpan kurang daripada RM500 sebulan dan 68% juga turut akui simpanan mereka hanya mampu bertahan selama 3 bulan sahaja. Persekitaran itu dapat dikaitkan komitmen yang tinggi serta pelarasan gaji yang rendah menyebabkan 51% Gen Z perlu membelanjakan sepenuhnya gaji mereka – untuk penuhi keperluan harian. Situasi ini mengakibatkan aliran simpanan terjejas.
Berhubung pemilikan kad kredit pula, 33% Gen Z akui mempunyai kad kredit dan hanya 45% daripada peratusan itu beruapaya membayar bil kad kredit pada kadar penuh. Keupayaan menanggung bil ini dilihat lebih rendah berbanding generasi Milenial (53%) dan X (52%).
Bagaimanapun secara menyeluruh, data dapat menyimpul golongan muda juga memperlihatkan daya ketahanan kewangan yang membrangsangkan. Ini disusuli usaha mereka melibatkan diri dalam platform pelaburan, menjaga prestasi skor kredit dan menambah-baik literasi kewangan berhubung dana persaraan kelak.
Ia secara langsung berpotensi memberi jaminan kewangan yang lebih baik buat mereka untuk jangka masa panjang, berikutan usia Gen Z lebih muda dibandingkan dengan generasi lain.