Artikel

Waktu Kerja Anjal Kini Dikaji – Tarik Minat Golongan Muda Sertai Sektor Perladangan

Memahami masih terdapat jurang yang besar penyertaan golongan muda dalam sektor 3D (dirty, dangerous, difficult – kotor, bahaya, sukar) khususnya dalam skop perladangan – Kementerian Sumber Manusia (KSM) kini sedang pertimbang untuk mengkaji pengenalan waktu kerja anjal ataupun masa kerja yang lebih fleksibel buat anak muda negara.

Ketika sesi Parlimen hari ini, KSM menjelaskan usul itu sedang dipertimbangkan sama ada menerusi flexi hour mahupun flexi week – sebagai contoh memberi pilihan bekerja dalam tempoh 2 minggu. Aturan ini membolehkan golongan muda meraih pengalaman tanpa terbeban dengan masa kerja yang lebih lama. Lebih menarik, terdapat pertimbangan juga untuk membangunkan silibus membolehkan tenaga kerja yang terlibat menerima pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mengikut tahap kemahiran.

Usaha itu akan menaik-taraf kemahiran pekerja ladang tempatan dengan nilai yang lebih baik. Ini akan menjadi faktor tarikan buat anak muda tempatan, malah ia juga akan membantu sektor ekonomi Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan ke atas tenaga asing.