Artikel

Indeks Pelopor Catat -0.5%, Papar Ekonomi Malaysia Terus Bergerak Sederhana – DOSM

Indeks Pelopor (IP), yang bertindak selaku jangkaan petunjuk aktiviti ekonomi negara secara purata dalam 4 bulan sehingga 6 bulan kehadapan kini menunjukkan pertumbuhan Malaysia lebih sederhana dan perlahan – apabila mencatatkan marginal -0.5% kepada 109.7 mata bagi Ogos 2023. 

Mengikut tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) keadaan ini didasari kesan ketidaktentuan ekonomi global, diikuti sentimen pelabur yang berhati-hati terhadap pasaran saham yang dicerminkan oleh aliran menurun pada Indeks Perusahaan Bursa Malaysia meskipun permintaan domestik di negara semakin kukuh. 

Buat pengetahuan umum, paras IP ini adalah lebih baik berbanding data Julai lalu – yang perlihatkan -0.1%.

Sementara berdasarkan senario ekonomi semasa pula, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi keseluruhan ekonomi semasa pula menunjukkan pertumbuhan negara 2.1% kepada 123.6 mata pada Ogos 2023 berbanding 121.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan itu disumbangkan oleh semua komponen kecuali Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.4%).

Perubahan bulanan IS pula mencatatkan 0.04% untuk mencapai 123.6 mata berbanding 123.5 mata pada Julai 2023, disokong terutamanya oleh peningkatan Jumlah Guna Tenaga, Pembuatan (0.4%).